NEM 3.0 Perkenal 3 Inisiatif Pasang Panel Solar Di Kediaman, Bangunan

suaramerdeka-dec2020.jpg


29/12/2020

Kerajaan akan meneruskan inisiatif pemasangan solar PV di bumbung premis bangunan dan kediaman melalui Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 bagi tempoh tahun 2021 hingga tahun 2023.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, NEM 3.0 melibatkan kuota sebanyak 500 megawatt (MW).

Melalui program tersebut, kementerian akan memperkenalkan tiga inisiatif yang memberi peluang kepada semua pengguna elektrik untuk memasang solar PV di bumbung bangunan dan rumah masing-masing bagi menjimatkan bil elektrik mereka.

Inisiatif tersebut melibatkan Program NEM Rakyat, Program NEM GoMEn dan Porgram NOVA (Net Offset Virtual Aggregation).

“Selain itu, Program NEM 3.0 turut memperkenalkan inovasi baharu menggunakan konsep NEM maya atau virtual NEM dengan membenarkan pemilik bangunan komersial dan industri untuk berkongsi lebihan tenaga dengan bangunan-bangunan mereka di lokasi berlainan,” kata Shamsul Anuar Nasarah.

Program NEM Rakyat mengekalkan konsep 1 to 1 offset dengan kuota sebanyak 100MW atau sehingga kesemua kuota tersebut habis.

Program ini memberikan manfaat pengurangan bil elektrik kepada 10,000 hingga 25,000 pemilik akaun domestik Tenaga Nasional Berhad atau kira-kira 40,000 hingga 100,000 isi rumah di Semenanjung Malaysia.

“Pengguna akan menikmati kadar offset 1 to 1 selama 10 tahun dan seterusnya mendapat penjimatan bil elektrik melalui konsep self-consumption selepas tamat tempoh tersebut.

“Permohonan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mulai 1 Februari 2021 hingga 31 Disember 2023,” kata Shamsul Anuar.

Program NEM GoMEn diperkenalkan bagi mengurangkan bil elektrik di bangunan-bangunan kerajaan dengan kuota sebanyak 100MW.

Program NEM GoMEn akan mengekalkan konsep 1 to 1 offset selama 10 tahun dan menggunakan konsep self-consumption selepas tempoh tersebut.

“Kira-kira 100 agensi kerajaan di Semenanjung Malaysia dijangka menikmati penjimatan bil elektrik yang dianggarkan berjumlah RM6 juta sebulan.

“Permohonan kuota program ini boleh dikemukakan kepada SEDA mulai 1 Februari 2021 hingga 31 Disember 2023 atau sehingga kesemua kuota tersebut habis,” kata Shamsul Anuar.

Program NOVA diperkenalkan bagi membantu pengguna bukan domestik daripada kategori komersial dan industri yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program ini membolehkan usahawan, syarikat tempatan dan rumah-rumah ibadat menjimatkan bil elektrik dan mengurangkan kos perniagaan melalui beberapa eleman.

Ini termasuk mendapatkan bekalan elektrik secara langsung daripada sistem solar PV yang dipasang di bumbung premis bangunan dan mengurangkan pembelian elektrik daripada syarikat utiliti.

Pengguna boleh menjual lebihan tenaga elektrik daripada sistem solar PV kepada sistem grid pada harga pasaran atau System Marginal Price (SMP) sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik bulan berikutnya.

Mereka juga boleh melakukan offset lebihan tenaga elektrik melalui pengagihan secara maya bagi 1 hingga 3 akaun bil elektrik di bawah pemilik yang sama.

Selain itu, Kementerian turut menetapkan supaya kadar offset selepas tempoh 10 tahun pertama adalah pada kadar SMP untuk tempoh 10 tahun berikutnya.

Pengguna NEM 2.0 boleh terus menikmati penjimatan bil elektrik dengan menyertai Skim SelCo selepas tempoh kadar offset SMP tamat.

Program NEM yang mula dilaksanakan pada tahun 2016 dengan kuota sebanyak 500MW telah habis dipohon pada 27 November 2020. -SM

Source: Suara Merdeka