OpenSys Sasar 500 Langganan buySolar Setiap Bulan


18/02/2020

PETALING JAYA, 18 Feb -- OpenSys Technologies Sdn Bhd, anak syarikat OpenSys (M) Bhd, mensasar 500 pengguna isi rumah sebulan untuk memohon pemasangan solar fotovoltan (PV) menerusi pasaran dalam talian solar yang baru dilancarkan, buySolar.

Ketua Pegawai Operasinya Luke Sebastian berkata buySolar adalah pasaran dalam talian ruang niaga sehenti solar pertama di Malaysia untuk menawarkan pengguna dan pelanggan perniagaan kebebasan memilih produk solar dengan pilihan pembiayaan terbaik.

"Platform buySolar menyediakan perkhidmatan pemasangan solar secara menyeluruh, termasuk status permohonan diberitahu secara dalam talian, anggaran kos, pilihan pemasang suria, sebut harga standard, pembiayaan, penyelenggaraan pemantauan dalam talian dan perkhidmatan selepas jualan.

"Apabila memilih pembekal solar, pelanggan boleh meminta sebut harga dan memilih pilihan pembiayaan daripada bank yang berbeza," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian buySolar di sini, hari ini.

Pada majlis itu, OpenSys Technologies juga mengumumkan jalinan kerjasama dengan CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd sebagai penyedia kewangan dan anak syarikat TNB, TNBX Sdn Bhd dan GSPARX Sdn Bhd sebagai pihak berkepentingan.

Luke berkata sumber untuk pemasang panel solar boleh dipercayai dan mendapat pilihan pembiayaan yang betul, mencabar bagi pelanggan Malaysia kerana kerumitan proses tersebut dan kesedaran rendah mengenai rakan pembiayaan.

"Teknologi adalah alat untuk menghubungkan pelbagai penyelesaian pihak berkepentingan untuk mencapai matlamat inisiatif ini.

"Seperti ditetapkan oleh kerajaan, bagi mencapai 20 peratus sasaran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025, kami percaya bahawa membangunkan buySoIar membantu menghasilkan impak transformatif teknologi baharu muncul seperti Internet Pelbagai Benda (IoT), Data Raya dan ruang niaga eBusiness kepada industri,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shariman Mohd Shariff berkata penglibatan CIMB sebagai pembiaya rasmi pada platform buySoIar mewakili sokongannya terhadap konsep pengantaraan berasaskan nilai (VBI) yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia serta mengutamakan kemampanan kumpulan CIMB.

"ClMB berbesar hati menjadi pembiaya rasmi untuk platform buySolar dan kami telah memperuntukkan RM100 juta untuk pembiayaan tenaga boleh diperbaharui.

"Pembiayaan CIMB dari serendah RM20,000 hingga RM1 juta meliputi 100 peratus daripada kos untuk memperoleh dan memasang teknologi tenaga boleh diperbaharui," katanya.


Source: BERNAMA